Protected by Copyscape Duplicate Content Finder

Feb 22, 2011

DUA

Shah:

Resah. Aku merasakan sepasang mata memerhatikan aku sedari tadi. Pergerakan aku rasa terbantut, terasa dinilai, terasa seperti aku berada di kandang pesalah di mahkamah. Cuba menyedapkan hati, aku menyibukkan diri membantu Afiq membaiki motosikal. Perbualan kami berempat diselangi gelak tawa. Sesekali aku turut sama tergelak mendengar jenaka mereka.

Tapi semakin lama, aku semakin tidak selesa. Hati aku terdetik sesuatu, lalu aku kalihkan pandangan ke arah balkoni rumah Afiq di tingkat atas. Kaget.

Sepasang mata yang memerhati itu punyai wajah cukup manis. Aku dan dia sama-sama terpaku. Aku ingin ukirkan satu senyuman, tapi wajah itu aku lihat berubah merah lalu dia berlalu meninggalkan aku yang masih belum puas memandang seuraut wajah milik dia.

Perbualan antara kami berempat seakan-akan kosong, tidak langsung aku tahu apa bait butir percakapan tiga sahabat dihadapan aku. Otak aku menerawang, merakam pandangan lembut itu di kotak memori. Sepasang mata bundar itu seperti berada di dalam kesakitan, menyimpan sesuatu untuk dirinya sendiri. Aku ingin tahu rahsia pemilik mata itu. Aku ingin tahu siapa dia.

"Fiq. Siapa yang ada kat rumah kau?" Teragak-agak, aku kuatkan hati bertanya juga. Perasaan ingin tahu itu lebih menebal dari rasa malu.

"Adik-adik aku je. Owh, si Hani pun ada kat dalam tu. Cuti sekolah ni, dia lepak kat rumah aku kejap."

"Hani?" Ihsan mencelah. "Siapa Hani?"

"Anak Mak Long aku. Sepupu aku lah kiranya." Afiq menjawab acuh tak acuh. Aku senyum. Hani...

Usai membaiki motosikal, kami berempat memecut ke kedai kopi berdekatan. Punggung dilabuhkan sebelum telefon bimbit aku bergetar menandakan mesej diterima.

Erm... hai. ni Shah kan?

Nombor tak dikenali lagi. Aku kurang gemar ber-sms. Membazir masa dan tenaga bagi aku. Kalau ada hal penting sangat, call terus. Lagi cepat daripada menunggu balasan sms.

"Hai Shah, awek mesej ke? Sampai tak sedar orang datang?" Nur, pelayan di kedai makan itu memandang cemburu. Aku tahu isi hatinya, pernah dia hubungi aku beberapa bulan lalu menyuarakan perasaannya terhadap aku. Aku senyum tawar melihat Afiq, Ihsan dan Faizul tersengih-sengih memberi hint supaya aku melayannya.

"Erm.. Nescafe ais satu." Aku memberitahu tanpa ada rasa untuk memandangnya. Serentak, aku dengar mereka bertiga mendengus perlahan.

Yang lain memesan minuman sama, lalu Nur berlalu hampa. Riaknya mencuka, menjeling tajam ke arah aku.

"Haiiii orang nak, kita pulak jual mahal... Kenapa tak ada perempuan nak mengorat aku hah?" Faizul menyoal dalam gurauan. Aku ketawa, disambut Afiq dan Ihsan.

"kau betul nak tau kenapa ni, Zul?" Faizul cepat mengangguk. "Sebab.... Mulut kau tu macam longkang! Siapa yang nak bai?" Ihsan membalas tajam.

"Amboi. Makan dalam! Hah. Aku nak jadi macam Shah la weyh. Senyap je, baru awek minat kot!" Faizul menyandar. Kerusi yang aku duduki ditepuknya kuat. Aku sengih sumbing. Aku sendiri hairan apa yang mereka nampak pada aku. Bukannya ada duit berkepuk, motosikal kapcai sahaja yang aku tunggang kehulu kehilir.

"Itulah. Tiap-tiap hari ada nombor baru masuk. Bila aku masuk line, tak pulak awek tu nak layan! Huiii bengang aku macam ni."

Ketawa kami berempat pecah lagi, menghingarkan suasana yang sedia bingar. Meja kami jadi tumpuan, tapi tak langsung dihiraukan pandangan tajam mereka di sekeliling. Topik lain pula jadi bualan, kebanyakannya berkisarkan kereta dan motosikal untuk diubahsuai-hobi yang dikongsi bersama dari dulu.

Lama bersembang, Afiq mengisyaratkan kami supaya memperlahankan suara. Telefon bimbitnya berlagu, tertera nama dan imej Hani di skrin telefon. Terasa kuat getaran dalam diri aku waktu itu.

"Ye Hani. Kenapa?.... Tu aje? Okay nanti Hani keluar ye. Along nak keluar lagi nanti."

Panggilan diputuskan sebelum Afiq menggamit Nur datang ke meja.

"Buat roti canai enam. Bungkus tau." Nur angguk faham, seulas senyuman dihadiahkan. Ihsan dan Faizul tersengih-sengih membalas. Kelakar pula aku lihat aksi mereka berdua.

"Nanti korang gerak dulu. Aku nak balik kejap, hantar order budak-budak tu. Mak aku tak ada, tiba-tiba semua jadi pemalas. Haish." Afiq mengomel sendiri.

"Kalau macamtu, aku ikut kau Fiq. Korang berdua lepak mana-mana dulu." Aku mencelah. Wajah mereka bertiga berubah hairan. Apekah?

"Habis siapa nak ketuk kereta bapak aku tu?" Faizul menyoal tak puas hati. Janji aku pada dia tadi akan cuba membaiki kereta Pakcik Idris yang kemalangan dua hari lepas.

"Ala kejap je tu. Aku ikut Afiq dulu, lagipun aku nak teman Afiq beli sparepart motor dia. Kan Fiq?" Aku angkat kening, memberi isyarat pada Afiq yang tak mengerti apa-apa. Tak lama, Afiq sengih terangguk-angguk.

"A'ah. Aku ajak Shah teman aku kejap. Lupa pulak."

Wajah aku terlukis rasa puas hati sedang Faizul dan Ihsan buat muka toya. Mata mereka bertindak seperti automatic scanner. Cuba menghidu apa yang bermain difikiran aku dan Afiq.


feb26/10

No comments: