Perlahan aku menapak masuk ke perkarangan rumah. Kereta Papa aku lihat tersadai di dalam garaj. Sudah pulang dari Melaka nampaknya. Papa selalu outstation di luar negeri. Entah berapa banyak kursus dan seminar yang dihadirinya. Nak mendengar ceramah di perhimpunan pun, penat aku menahan sengguk, inikan pula dipaksa hadir ke majlis-majlis ceramah formal. Heh. Tak sanggup.
Aku buka ikatan tali kasut sekolah sebelum kasut itu diletak kemas di atas rak kasut yang tersedia. Aku menuju ke bilik di tingkat atas. Rumah banglo ini sunyi tanpa suara. Seperti rumah tinggal, tetapi bersih dan kemas. Aku melangkah melalui bilik tidur utama. Aku tahu Papa ada di dalam, tapi langsung tiada niat untuk aku menegur walau sudah seminggu tidak bersua muka. Tak perlu. Papa pun tak pernah mengambil tahu keadaan aku.
Famili aku seakan-akan goyah. Puas aku mencari punca namun belum aku temui jawapannya. Mama suri yang baik. Segalanya sempurna di mata aku, cuma Papa yang buta mungkin. Kadangkala aku malu untuk mengaku aku punyai seorang ayah yang bersahabat baik dengan syaitan. Arak dan judi kekasih pertamanya. Wanita-wanita pelacur dan sundal juga yang dicarinya. Bodoh.
Aku termangu sendiri diatas katil. Memang sifat aku memberontak, tapi untuk melawan Papa sedaya upaya aku cuba elakkan. Sehabis daya aku tahankan. Sabar! Itu kata Mama. Dan aku harus akur dengan pemegang kunci syurga itu.
Keluhan berat aku lepaskan. Tubuh kerdil ini aku baringkan ke katil, mata kejap memandang siling. Aku biarkan fikiran terbang sejauh-jauhnya sebelum aku dengar suara jeritan bersilih ganti. Malas menjenguk. Aku tahu Papa dan Mama bertengkar lagi.
"Heaven!" Aku senyum sinis. Bagusnya kalau aku berada bersama Along, Marsha dan Diya waktu ini. Kami cuma tahu bergembira, menikmati setiap baki nafas yang dipinjam dari-Nya.
Akal gila aku cepat mengambil alih, mengawal tubuh aku. Nekad. Segera aku keluar dari bilik, melintasi bilik Papa dan Mama yang masih berdiskusi dengan suara tinggi, ke ruang tamu sebelum aku capai kunci kereta Mama di atas meja.
"Hani! Where are you going?!"
Aku toleh ke arah suara itu. Suara Mama yang serak-serak basah. Mata Mama sembap akibat tangisan tak berhenti. Aku simpati. Mahu saja aku tarik tangan Mama, membawa dia jauh dari Papa. Saat hati aku berbelah bahagi, Papa muncul. Bengis!
"Hani! Masuk! Kau nak kemana tengah-tengah malam ni?!"
Bibir diketap. Benci sungguh rasanya memandang wajah itu. Aku senyum sinis. Tanpa mempedulikan panggilan Mama, aku memboloskan diri kedalam kereta. Pedal minyak ditekan rapat. Toyota Camry milik Mama laju, membelah malam.
1 comment:
yg ney okey ..tp yg ari tu x okey...hihihi
Post a Comment